KUALA LUMPUR, 19 Feb (Iteenews) — Kerajaan sedang menyediakan Pelan Tindakan Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan ia dijangka siap pada suku ketiga 2025.
Menurut Kementerian Ekonomi, peruntukan untuk pembangunan kawasan zon ekonomi bagi tujuan pembangunan infrastruktur akan disediakan dalam peruntukan pembangunan termasuk di kawasan JS-SEZ.
Kementerian tersebut berkata demikian dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang parlimen dan bagi menjawab soalan daripada Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai perincian perjanjian JS-SEZ terutamanya obligasi kewangan bagi Malaysia dan Singapura dan bila pelan tindakan JS-SEZ itu akan siap.
Sementara itu, antara faktor kejayaan kritikal dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura bagi pelaksanaan JS-SEZ adalah kerjasama ekonomi dan promosi pelaburan bersama, proses memudahkan pergerakan rentas sempadan melibatkan personel dan barangan, proses memudahkan urusan menjalankan perniagaan serta pembangunan bakat.
Kementerian berkata demikian bagi menjawab Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahuapakah model kejayaan dalam kerjasama mewujudkan zon ekonomi antara dua negara dan juga apakah faktor kejayaan kritikal dalam melaksanakan JS-SEZ.
Model JS-SEZ merupakan kerjasama bersifat umum dan tiada elemen perjanjian yang mengikat serta memerlukan komitmen antara dua negara yang terlibat dalam zon ekonomi khas berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Ekonomi berkata kerajaan komited dalam memastikan pelabur tempatan tidak terpinggir serta dapat mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi di kawasan JS-SEZ melalui tiga pendekatan.
Pendekatan bakal diambil adalah pengukuhan rantaian bekalan tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti serta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.
Selain itu, syarikat tempatan juga mempunyai kelebihan untuk merebut peluang geran sokongan, geran padanan dan dana yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi sedia ada untuk perluasan aktiviti syarikat termasuk di JS-SEZ.