Kredit : Fb Balai Bomba & Penyelamat Kota Tinggi
KOTA TINGGI, 28 Feb (Iteenews) — Seorang pelajar perempuan tingkatan enam maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terjatuh dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Lok Heng – Mawai di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mangsa, Nur Adnin Sabtu, 19,disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian membabitkan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab itu kira-kira 6.50 petang.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga berwarnamerah yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh dalam gaung berhampiran.
"Susulan itu, mayat mangsa telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I KUP Mohd Rafi Mohd Nor dalam kenyataan berasingan berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah menggunakan peralatan khas untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat.
"Operasi menyelamat mangsa yang terjatuh dalam gaung sedalam 25 kaki itu melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi.
"Mayat mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.48 malam," katanya.
— BERNAMA