KUALA LUMPUR, 12 Mac (Iteenews) — Pelaburan oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) dalam Sapura Energy Bhd (SEB) akan digunakan secara eksklusif untuk membayar pembekal (vendor)tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan sedia ada, menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Sebagai pemegang saham utama SEB sedia ada, PNB menjelaskan pembiayaan itu penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas memandangkan SEB mempunyai lebih 2,000 vendor, kebanyakannya adalah PKS serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas.
PNB memaklumkan SEB adalah penyedia perkhidmatan kritikal untuk industri minyak dan gas Malaysia, dan pelaburan itu menyokong perniagaan tempatan serta mengekalkan integriti rantaian bekalan.
Memelihara SEB dan ekosistem minyak dan gas yang lebih luas adalah penting untuk kesinambungan projek yang menyumbang kepada hasil dan jaminan tenaga negara, malah inisiatif itu memastikan kestabilan dan kemajuan keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas Malaysia, menurutnya.
“Tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing dan bukan Malaysia, mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia. Pelaburan ini akan memastikan kerja minyak dan gas negara akan terus dilakukan oleh rakyat Malaysia, memberi manfaat kepada PNK (Pendapatan Negara Kasar) Malaysia sebanyak RM1.1 bilion dan memberi kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia,” tambah pengurus dana itu.
Menurut PNB pelaburan itu penting dalam memudahkan penyelesaian salah satu langkah penstrukturan hutang terbesar di Malaysia, melibatkan beberapa bank terbesar.
“Pelaburan ini akan membantu mengelakkan pembubaran SEB, yang akan mengakibatkan penjualan aset minyak dan gas strategik negara secara lelongan, di dalam dan luar negara.
“Pelaburan dilakukan selaras dengan amalan terbaik penstrukturan global. Pelaburan oleh MDH akan dilakukan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan yang ketara serta potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi,” jelas PNB.
Selain itu, pemegang saham SEB sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah Skim Penstrukturan Hutang, tambahnya.