KUALA LUMPUR, 16 Dis (Iteenews) — Langkah Malaysia menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) dilihat mampu mempercepat penggunaan fungsi AI dalam usaha mengukuhkan ekonomi digital.
Dekan Fakulti AI Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Prof Dr Mohd Naz’ri Mahrin berkata NAIO dapat menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga AI selain menggalakkan pelaburan asing, sekali gus menyumbang kepada ekosistem digital yang dinamik dan mantap.
Pada masa sama, katanya, NAIO membolehkan analisis data raya dimanfaatkan untuk mengenal pasti trend ekonomi, mengoptimumkan peruntukan sumber dan mewujudkan dasar dipacu data yang memberi manfaat kepada perniagaan serta rakyat.
\”Ini dapat memudahcara pelaksanaan mekanisme dan platform berteraskan AI untuk memperkemas proses dalam pentadbiran awam, mengurangkan ketidakberkesanan selain meningkatkan penyampaian perkhidmatan,\” katanya kepada Iteenews.
Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan NAIO yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi dan aplikasi AI selain berperanan sebagai pusat dalam memperjuangkan agenda AI Malaysia.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Naz’ri berkata langkah memanfaatkan AI bagi transformasi digital itu akan menyaksikan NAIO berperanan penting dalam mencapai aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Beliau berkata menerusi pelbagai inisiatif, NAIO akan membolehkan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, memupuk inovasi dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian dan pembuatan serta memudahcara pembangunan bakat AI yang berkesan.
“Usaha ini penting bagi membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan selain memastkan pertumbuhan yang inklusif serta mampan.
“Ekonomi digital adalah pemacu utama masa depan Malaysia dengan sasaran besar untuk menyumbang sebanyak 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2024. NAIO juga berada dalam kedudukan unik untuk melonjakkan matlamat ini dengan penyepaduan AI dalam strategi teras ekonomi digital,\” katanya.