PASARAN HARTANAH KEKAL KUKUH PADA 2024

793f017f61fcf6df8c355c80a5a1e01a6760c870859d4

 

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Iteenews) — Pasaran rumah Malaysia dan keseluruhan sektor hartanah kekal kukuh dan stabil sepanjang 2024 disokong oleh permintaan yang rancak dan pelancaran projek baharu sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur.  

Mengikut Indeks Harga Rumah Malaysia, purata harga rumah berada pada RM475,126 dengan kenaikan sederhana 0.4 peratus berbanding setahun lalu, menunjukkan kestabilan pasaran dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari memberitahu Iteenews hartanah kediaman memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan pasaran.

“Urus niaga kediaman membentuk 50 peratus daripada jumlah nilai dan 63 peratus daripada jumlah semua urus niaga hartanah setakat tahun ini,” katanya.

Keyakinan dalam kalangan pemaju melonjak, dengan lebih 32,000 rumah bertanah dan bertingkat baharu dibangunkan pada suku ketiga – meningkat 50 peratus daripada suku kedua.

Kashif berkata pemaju bukan sahaja memulakan projek baharu tetapi juga menyerahkan rumah yang telah siap secara berterusan, memastikan keseimbangan antara penawaran dan permintaan.

\”Pasaran mengekalkan kadar pertumbuhan yang sekata, menandakan keyakinan dan potensi pengembangan yang berterusan,\” katanya.

Menurutnya, data itu mencerminkan kemajuan sepanjang tahun bagi pasaran hartanah Malaysia yang menyediakan asas kukuh bagi sektor itu untuk melangkah ke tahun 2025.