KUALA LUMPUR, 10 Dis (Iteenews) — Pasaran harta tanah kediaman negara pada suku ketiga merekodkan lebih 70,000 transaksi, tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan nilai hampir RM29 bilion, peningkatan 2.9 peratus dari segi bilangan dan 1.3 peratus nilai transaksi berbanding tempoh sama pada 2023.
Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Abdul Razak Yusak berkata subsektor kediaman terus mendominasi aktiviti pasaran, menyumbang lebih 60 peratus bilangan transaksi harta tanah dalam negara.
Menurutnya secara keseluruhan, prestasi pasaran harta tanah Malaysia pada suku ketiga 2024 terus kukuh dengan bilangan dan nilai transaksi masing-masing menokok kepada 112,305 transaksi bernilai RM57.31 bilion.
Peningkatan marginal dalam bilangan sebanyak 3.1 peratus turut diimbangi dengan kenaikan kecil 0.3 peratus nilai transaksi berbanding tempoh yang sama pada 2023, katanya.
\”Prestasi pasaran harta tanah yang kukuh ini disokong oleh pertumbuhan positif bilangan transaksi harta tanah di semua subsektor, pertumbuhan menggalakkan aktiviti pembinaan dan penurunan unit kediaman siap dibina tidak terjual secara konsisten sejak suku pertama 2024,\” katanya dalam kenyataan.
Subsektor Kediaman Kekal Momentum Pertumbuhan
Subsektor kediaman dalam lingkungan harga RM300,000 dan ke bawah menguasai aktiviti pasaran kediaman negara dengan merekodkan 53.4 peratus (37,689 transaksi), diikuti harga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 23.8 peratus (16,790 transaksi) dan RM500,001 ke atas sebanyak 16,041 (22.8 peratus) transaksi.
Abdul Razak berkata Selangor menyumbang bilangan dan nilai transaksi tertinggi, mendominasi 21.1 peratus bilangan (14,902 transaksi) dan 29.2 peratus nilai (RM8.40 bilion).