Pantai Holdings IHH Akan Beli Island Hospital Bernilai RM3.92 Bilion

266528b37ea647cd94ad83b825f89fd85fbfbebfa70e4

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Iteenews) — Anak syarikat milik penuh tidak langsung IHH Healthcare Bhd (IHH), Pantai Holdings Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Comprehensive Care Sdn Bhd untuk membeli 100 peratus kepentingan dalam Island Hospital Sdn Bhd bernilai RM3.92 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IHH berkata cadangan pembelian itu melibatkan pembelian 20.0 juta saham biasa dalam Island Hospital.

Cadangan pembelian itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman luar.

“Gabungan pembiayaan itu akan ditentukan pada peringkat seterusnya selepas mempertimbangkan keperluan tunai dalaman, tahap kadar hutang dan kos faedah IHH Group,” kata IHH.

Menurutnya cadangan pembelian itu menyediakan peluang strategik untuk membeli hospital swasta terkemuka di Pulau Pinang itu yang mempunyai kapasiti 600 katil.

Langkah itu akan membolehkan kumpulan menyatukan dan mengukuhkan kehadirannya di Pulau Pinang dan memperkuat kedudukan daya saingnya di seluruh Malaysia, katanya.

Selepas pembelian itu, kumpulan akan mengendalikan tiga hospital di Pulau Pinang iaitu Island Hospital, Hospital Gleneagles Pulau Pinang dan Hospital Pantai Pulau Pinang, melibatkan lebih 1,000 katil yang boleh digunakan.

Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, IHH berkata cadangan pembelian itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Dalam kenyataan berasingan, kumpulan berkata berikutan pembelian itu, ia menjangkakan lebih RM200 juta menerusi sinergi untuk tempoh lima tahun akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *