Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Iteenews) –Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus semasamesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini mencerminkan sokongan bank pusat itu terhadap pertumbuhan ekonomi domestik.
Ini juga selari dengan hala tuju kerajaan dalam menarik pelabur, khususnya pelaburan langsung asing, kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.
“Dengan asas dasar monetariiaitu OPR pada kadar 3.0 peratus termasuk polisi pengembangan fiskal melalui dasar penawaran kerajaan, kedua-duanya mencukupi sebagai penampan kepada pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya kepada Iteenews.
Muhammad Ridhuan ketika ditanya mengenai kadar faedah yang berbeza di Asia dan dasar monetari yang agresif di peringkat global menjelaskanparas semasa tiga peratus kekal menarik bagi sektor pembuatan Malaysia, termasuk minyak dan gas, serta mampu merangsang minat pelabur portfolio.
Mengenai inflasi, beliau menegaskan paras OPR semasa adalah mencukupi bagi membendung kadar inflasi negara, yang berada di bawah 2.00 peratus.
“OPR yang dikekalkan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, dan jika OPR dinaikkan, ia boleh menyebabkan pengurangan pelaburan, yang seterusnya akan memberi kesan kepada pasaran buruh,” kata Muhammad Ridhuan.
Beliau juga berkata pasaran buruh negara memerlukan sokongan daripada pelaburan domestik dan dasar monetari adalah penting untuk membina keyakinan pelabur dalam meningkatkan pelaburan atau inventori.
Sementara itu, ahli ekonomi terkemuka, Geoffrey Williams berkata keputusan bagi mengekalkan OPR pada 3.00 peratus adalah dijangka dan ia merupakan keputusan yang tepat.