Op Khas HRA 2025: JPJ Melaka Terima 183 Aduan Kesalahan Jalan Raya

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Khairul Aswad Abdul Halim (dua kiri) bersama anggota trafik memeriksa motosikal pada Operasi Sepadu sempena Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) di Bukit Piatu di sini malam tadi.–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 9 April (Iteenews) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerima 183 aduan berkaitan kesalahan pengguna jalan raya sepanjang Operasi Sepadu sempena Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang berlangsung dari 24 Mac hingga 7 April.

Timbalan Pengarah JPJ Melaka Khairul Aswad Abdul Halim, berkata kesalahan utama yang dilaporkan termasuk memandu di lorong kecemasan (77 aduan), memotong barisan (36), tidak patuh isyarat lalu lintas (34), dan kesalahan lain seperti tidak memakai tali pinggang (9) serta guna telefon bimbit (4).

Beliau berkata aduan berkenaan diterima menerusi aplikasi MyJPJ yang dilengkapi dengan maklumat dan bukti kesalahan dilakukan pengguna jalan raya terlibat termasuk gambar atau video, lokasi, tarikh dan masa kejadian.

"Notis akan dikeluarkan kepada pengguna yang disyaki melakukan kesalahan dalam tempoh 72 jam,"” katanya kepada pemberita selepas Operasi Sepadu sempena OP Khas HRA 2025 di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) di Bukit Piatu di sini malam tadi.

Sepanjang operasi, sebanyak 20,797 kenderaan diperiksa dan 2,380 notis dikeluarkan, manakala 37 kenderaan disita, termasuk motosikal, kereta, dan kenderaan perdagangan.

Sebanyak 26 kenderaan yang disita melibatkan pemandu warga asing yang didapati tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, dan kenderaan tanpa perlindungan insurans.

Khairul Aswad juga menekankan pentingnya tindakan penguatkuasaan untuk memastikan keselamatan jalan raya, terutama semasa musim perayaan.

— BERNAMA