PUTRAJAYA, 14 Dis (Iteenews) – Nilai Ringgit yang kembali pulih, inflasi kekal terkawal serta kadar pengangguran kekal rendah merupakan antara petanda positif yang akan melonjakkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia kini berada pada trajektori pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh dan dijangka melebihi lima peratus pada 2024.
“Defisit fiskal juga semakin berkurang, dijangkakan 4.3 peratus untuk tahun ini.
“Manakala jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM254.7 billion, meningkat 10.7 peratus bagi Januari-September 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial rasmi beliau hari ini.
Amir Hamzah yang genap setahun memegang portfolio Menteri Kewangan II pada Khamis lepas (12 Dis) berkata fokus utama beliau adalah untuk melaksanakan ikhtiar sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Antaranya adalah menstruktur semula ekonomi dengan meluaskan pendapatan negara, membela kesejahteraan rakyat dengan saksama dan terangkum dan menyediakan sokongan tatakelola yang lebih baik.
“Bagi saya, tatakelola adalah garis pemisah antara kebatilan dan kejayaan.
“Ia jelas dan pasti, tetapi mengimbangi peluasan fiskal dan kebajikan rakyat memerlukan seluruh pengalaman dan pengetahuan yang saya timba selama 27 tahun daripada dunia korporat sebelum ini,” katanya.
Amir Hamzah berkata Belanjawan 2025 adalah pemacuan kerangka Ekonomi MADANI yang membawa agenda kemanusiaan.