Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Mac(Iteenews) –NGC Energy Sdn Bhd merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan sistem fotovoltaik (PV) solar dalam sektor komersial dan perindustrian tahun ini, berbanding daripada projek kediaman.
Ketua Pegawai EksekutifJulianna Kamaruddinberkata syarikat itu telah menyiapkan dua projek dalam sektor komersial dan perindustrian tahun lepas, terutamanya di Lembah Klang dan Pahang.
"Jadi untuk tahun ini, kami memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi sektor industri dan komersial kerana sistem ini lebih besar dan menawarkan peluang yang lebih banyak.
"Selain itu, ini membolehkan kami membantu perniagaan menguruskan kos keseluruhan mereka," katanya kepada Iteenews di majlis berbuka puasa khas bersama anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik hari ini.
NGC Energy, yang diiktiraf sebagai pembekal gas petroleum cecair (LPG) kedua terbesar di Malaysia, melancarkan Program Sistem (PV) Solar pada Disember 2023, menjadikan syarikat itu sebagai peneraju dalam sektor tenaga boleh baharu(RE).
Selain menyokong usaha kerajaan untuk tenaga boleh baharu dan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), beliau berkata syarikat itu juga boleh membantu perniagaan memanfaatkan insentif yang ada untuk mengurangkan perbelanjaan operasi melalui pelaburan ke atas sistem berkenaan.
"Ini adalah pelaburan yang penting, dan kerajaan menyediakan insentif seperti pengecualian cukai modal untuk menyokong pemilik perniagaan dan pelabur. Ia merupakaninisiatif yang kukuh yang memberi manfaat kepada kedua-dua perniagaan dan matlamat tenaga boleh baharu negara," katanya.
Julianna berkata projek kediaman syarikat telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan menyiapkan 50 pemasangan tahun lepas. "Dengan memanfaatkan momentum ini, NGC Energy menyasarkan pertumbuhan yang stabil, dengan sasaran peningkatan 15 hingga 20 peratus dalam projek-projek kediaman tahun ini," katanya.