KUALA LUMPUR, 31 Dis (Iteenews) — Pemproses sarang burung MYMBN Bhd masih belum menilai sepenuhnya impak kewangan susulan daripada penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya langkah penggantungan itu telah menjejaskan operasi, rantaian bekalan dan aliran perolehan berkaitan pasaran China sebagai antara destinasi eksport utamanya.
Berikutan penggantungan itu, sehingga kini, MYMBN tidak dapat memenuhi pesanan bernilai kira-kira RM2.50 juta.
“Bagaimanapun, syarikat terus menanggung kos overhed bulanan kira-kira RM92,000 walaupun langkah penggantungan itu dibuat," katanya.
Menurut syarikat, langkah segera telah dilaksanakan untuk menangani situasi ini, antaranya bekerjasama dengan badan pengawal selia untuk menyelesaikan isu yang menyebabkan penangguhan dan mempercepat penyelesaiannya.
Selain itu, MYMBN sedang meneroka strategi untuk memperkukuh kehadirannya di pasaran alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada China.
“Aliran kerja operasi kumpulan juga sedang dioptimumkan bagi menguruskan inventori dan tahap pengeluaran dengan cekap di sampingmengekalkan kualiti produk," katanya.
Pada 26 Disember, MYMBN dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan telah menerima notis daripada DVS berhubung penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China berkuat kuasa 25 Dis 2024.
Menurutnya penggantungan itu dilaksanakan susulan laporan wabak Newcastle Disease (ND) di Malaysia sebagaimana yang telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).