Datuk Seri Johari Abdul Ghani
PELABUHAN KLANG, 12 Dis (Iteenews) — Industri getah negara merekodkan pencapaian membanggakan menerusi pelaksanaan inisiatif Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang bertujuan memastikan komoditi berkenaan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia dibuktikan menerusi pematuhan standard lebih awal berdasarkan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menyaksikan dua syarikat getah tempatan mengeksport 200 tan Standard Malaysian Rubber (SMR) mematuhi MSNR ke negara yang mengganggotai kesatuan tersebut.
\”Pada bulan lepas, Parlimen EU telah meluluskan usul untuk menunda tarikh penguatkuasaan EUDR daripada 30 Disember 2024 kepada 30 Disember 2025 untuk syarikat besar dan 30 Jun 2026 untuk perusahaan kecil dan sederhana.\” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran eksport pertama getah Malaysia mematuhi MSNR ke Kesatuan Eropah (EU), di sini, hari ini.
Johari berkata walaupun peraturan EUDR masih belum dikuatkuasakan, Malaysia telah menunjukkan komitmen jitu mematuhi aspek kemampanan antarabangsa melalui MSNR.
\”Ini membuktikan ketersediaan sektor agrikomoditi dalam memastikan rantaian bekalan industri mematuhi amalan kemampanan dunia,\” katanya.
Beliau berkata antara tujuan MSNR dibangunkan adalah untuk melindungi kepentingan industri getah negara termasuk mengekalkan kuasa pasaran Malaysia di EU iaitu sebanyak 15 peratus atau RM3.87 bilion daripada jumlah eksport getah asli negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan Dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Pada 7 Oktober lalu, LGM melancarkan inisiatif MSNR bagi memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.