Kredit foto: Fadzli Ramli
Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 20 Ogos (Iteenews) — Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sedang meneroka pasaran alternatif baharu yang boleh menawarkan akses serta kesaksamaan yang lebih besar selepasPeraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) mula meningkatkan kos menjalankan perniagaan di Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Kaur Sronberkata pasaran yang sedang dipertimbangkan merangkumi India, China, ASEAN, Afrika serta Timur Tengah, yang boleh memberi peluang besar kepada pemain industri dan pekebun kecil Malaysia.
Katanya, walaupun Eropah kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia, pelaksanaan EUDR memberi cabaran yang ketara.
Penyelidikan data global menunjukkan pematuhan tersebut boleh membebankan pengeluar minyak sawit sehingga US$1.5 bilion. (US$1 = RM4.38).
“EUDR ialah halangan bukan tarif yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU). Ia mendiskriminasi empat komoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit, getah, kayu dan koko, dengan menyekat akses pasaran terbuka.
“Keperluan ketat peraturan berkenaan ke atas kebolehkesanan serta geolokasi akan dikenakan, saya tidak menggunakan perkataan 'mungkin' kerana ia memang akan menyebabkan beban kewangan dan teknikal tambahan kepada syarikat Malaysia, khususnya pekebun kecil, selain berpotensi mengecualikan mereka daripada rantaian bekalan EU,” katanya.
Beliau membuat kenyataan ini semasa ucapan alu-aluannya di Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF) di sini hari ini.
Turut hadir dalam acara itu ialah Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Berhad, Mohd Saleem Kader Bakas.