KUALA LUMPUR, 11 Okt(Iteenews) –Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memulakan penyiasatan duti antilambakan ke atas rod dawai keluli yang berasal dari atau dieksport oleh China, Indonesia dan Vietnam.
Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata siasatan itu dibuat berikutan petisyen yang difailkan oleh Southern Steel Bhd, pengeluar domestikyang mendakwa import dari negara-negara itu dijual pada harga yang lebih rendah daripada produk-produk domestik.
Southern Steel juga mendakwaimport yang dilambakkan telah meningkat dengan ketara menyebabkan kemudaratan material kepada industri domestik, kata kementerian itu.
Siasatan akan dimulakan di bawah Seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) dan peraturan 7 Peraturan-peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).
“Penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan siasatan. Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti antilambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kemudaratan kepada industri domestik daripada berlanjutan,” katanya.
MITI akan mengedarkan set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan sepertipengimport, pengeksport atau pengeluar dari negara yang didakwa, kerajaan negara berkenaandan persatuan perniagaan yang berkaitan.
Pihak berkepentingan lain yangberminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti antilambakan iniboleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 25 Oktober, 2024 dan menyerahkan pandangan, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan mereka selewat-lewatnya pada 9 Nov, 2024.
— BERNAMA