MELAKA, 8 Feb (Iteenews) — Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM88 juta pada tahun ini, bagi melaksanakan projek dan program pembangunan yang memberi impak positif ke arah memperhebat pembangunan negeri.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan projek dan program pembangunan itu juga bakal membawa manfaat pada pertumbuhan sosioekonomi rakyat seiring tema Bajet Kerajaan Negeri Melaka 2025, iaitu “Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang”.
Beliau berkata Melaka juga telah menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan melibatkan beberapa projek mega antaranya pembinaan pusingan U bertingkat dan direct u-turndari persimpangan Pulau Gadong hingga persimpangan Taman Cheng Perdana.
"Selain itu, peruntukan yang diterima turut melibatkan pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral,balai polis baharu di Tanjung Minyak dan Lebuh Raya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah melalui pendekatan perkongsian awam-swasta.
"Bergerak ke hadapan, sebenarnya banyak lagi projek pembangunan yang sedang kerajaan negeri rancang dan perincikan khususnya mengambil kira kesejahteraan semua golongan rakyat termasuk petani, pekebun kecil, peniaga, nelayan dan pekerja industri," katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025 yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata sebanyak 2,205 projek dan program pembangunan melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM392 juta telah disiapkan jabatan dan agensi kerajaan negeri di Melaka dari 2020 hingga 2024.
Beliau berkata Melaka juga berjaya mencatatkan prestasi perbelanjaan pembangunan secara konsisten, iaitu mencapai 90 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut sekali gus meletakkan negeri itupada landasan yang tepat dalam membangunkan negeri lestari.
"Saya percaya, semua projek dan program pembangunan yang berjaya disiapkan ini cukup signifikan pada pulangan kemakmuran dan kestabilan khususnya sektor pembangunan negeri agar sentiasa terancang, berkualiti, progresif dan mampan.