Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin bersama hos program Sherkawi Jirim pada Program Ruang Bicara bertajuk Keselamatan Dalam Talian Tanggungjawab Bersama di Wisma Iteenews, baru-baru ini.– fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 1Mac(Iteenews) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperluasmodul latihan keselamatan dalam talian ke seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkara berkenaan, kata Timbalan Pengarah Urusan MCMCDatuk Zurkarnain Mohd Yasin.
Beliau berkata langkah itu sejajar dengan hasrat Kementerian Komunikasi untuk melaksanakan kempen kesedaran keselamatan dalam talian secara menyeluruh melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.
Zurkarnain berkata usaha berkenaan turut diperluaskepada golongan remaja dan pelajar universiti menerusi kerjasama dengan majlis perwakilan pelajar di institusi pendidikan tinggi serta program jelajah ke sekolah-sekolah.
“Kita menyediakan modul-modul latihan kepada semua peringkat masyarakat. Kita bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia dan Komuniti MADANI dengan melatih mereka kerana mereka dekat dengan masyarakat di luar sana dan juga di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Elemen-elemen yang kita bawa bukan setakat kesedaran tentang keselamatan dalam talian, tetapi juga melatih pemimpin-pemimpin komuniti dan juga pemimpin-pemimpin pelajar untuk bercakap tentang keselamatan dalam talian ini,” katanya ketika menjadi panel dalam program Ruang Bicara terbitan Iteenews TV, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap segmen masyarakat mempunyai risiko kemudaratan dalam talian yang berbeza, justeru langkah menanganinya perlu dilakukan secara menyeluruh bagi membentuk daya tahan mental masyarakat serta meningkatkan kemahiran mereka mengenal pasti dan mencegah ancaman siber.
Sebagai contoh kata beliau, golongan muda umumnya mempunyai kemahiran keselamatan siber serta penggunaan teknologi dan medium dalam talian atau tech-savvy, bagaimanapun dari aspek mental readiness atau alertness terhadap aktiviti atau perbuatan dalam talian yang menyalahi undang-undang, seperti pengantunan kanak-kanak(sexual grooming) masih perlu diberikan tumpuan.
“MCMC akan menyediakan modul latihan khusus bagi setiap segmen masyarakat yang akan memberi penekanan terhadap isu keselamatan dalam talian, termasuk modus operandi jenayah siber, penipuan dalam taliandan kaedah pencegahan.
“Di samping agensi-agensi kerajaan seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia) sebagai rakan kolaborasi, kita juga akan melibatkan penyedia-penyedia platform itu sendiri seperti TikTok dan Facebook untuk turut serta dalam perkara ini (kempen kesedaran),” kata Zurkarnain.