Maxis, UTAR Jalin Kerjasama Bangunkan Penyelesaian 5G Dalam Kesihatan Dan Pendidikan

b30b5550f80e51e8ce4dddb8573ab95a6776616b2c3ccKredit: Maxis

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Iteenews) –Maxis, penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka di Malaysia, bekerjasama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bagi pembangunan bersama penyelesaian 5G, dengan fokus pada inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Dalam kenyataan hari ini, Maxis memaklumkan bahawa dalam bidang penjagaan kesihatan, penyelesaian didayakan 5G yang mungkin berpotensi untuk diterokai termasuk pembedahan jarak jauh (tele-surgeri), tele-perubatan canggih, perundingan jarak jauh dan pemantauan kesihatan masa nyata.

Bagi pendidikan, penyelesaian mungkin dibangunkan untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman pembelajaran melalui persekitaran yang imersif dan penyampaian kandungan interaktif.

“Di luar dua bidang ini, penyelesaian bersama seperti keselamatan siber, teknologi hijau, dan inisiatif kampus pintar juga mungkin dibangunkan dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian Maxis,” menurut kenyataan tersebut.

Kerjasama ini dirasmikan melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diwakili masing-masing oleh Presiden UTAR Prof. Datuk Dr. Ewe Hong Tat, dan Ketua Pegawai Perniagaan Enterprise MaxisPrateek Pashine.

Maxis memaklumkan kerjasama ini meneruskan inisiatif terdahulu oleh Maxis Business sebagai rakan digital pilihan, dengan menyediakan sambungan menyeluruh dan penyelesaian tambahan untuk memacu penggunaan lebih meluas teknologi 5G dan 5G-Advanced dalam kalangan perniagaan di Malaysia

Prateek berkataMaxis berbangga untuk bekerjasama dengan rakan sejawat seperti UTAR bagi meneroka potensi teknologi 5G.

“Penjagaan kesihatan dan pendidikan adalah bidang kritikal yang memerlukan idea berasaskan masa depan, dan kolaborasi antara industri dan akademia seperti ini akan mempercepatkan inovasi.

“Menerusi Maxis Business, kami berharap dapat menyediakan penyelesaian 5G yang mampu mentransformasi sistem penjagaan kesihatan dan persekitaran pendidikan, menjadikannya lebih dinamik, mudah diakses, dan peribadi,” katanya.