Mat Zani @ Mohd Salahuddin Pangku Jawatan Pengarah JSJN Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Iteenews) — Timbalan Pengarah Narkotik (risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali memangku jawatan Pengarah JSJN Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Khaw Kok Chin yang akan bersara wajib Ahad ini.

Majlis serah terima jawatan yang diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan dalam ucapannya berkata kepimpinan Khaw telah banyak membawa kejayaan besar terhadap JSJN termasuk rampasan dadah dan racun bernilai RM1.67 biliontahun lepas.

"Apabilakita buat pencapaian yang baik, insya-Allah masyarakat dan warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan kenang apa yang kita pernah lakukan," katanya.

Khaw dalam ucapannya pula merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga PDRM yang memberi dorongan dan sokongan sepanjang 34 tahun perkhidmatan beliau dalam pasukan Sang Saka Biru.

"Saya berharap agar pucuk pimpinan JSJN yang baharu akan meneruskan usaha ini dengan menghasilkan lebih banyak kejayaan besar dalam menghapuskan sindiket dadah," katanya.

— BERNAMA