KUALA LUMPUR, 11 Feb (Iteenews) — Malaysia dan Turkiye perlu bekerjasama dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor, komoditi pertanian, elektrik dan elektronik (E&E) serta makanan dan minuman (F&B) bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala US$10 bilion (RM44.68 bilion), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia berkata Turkiye menyasar untuk menggandakan perdagangannya dengan Malaysia kepada US$10 bilion selepas melepasi paras US$5 bilion pada 2024.
Sehubungan itu, meskipun mengakui sasaran itu mencabar, Anwar yakin Malaysia boleh membantu Turkiye untuk mencapainya.
“Tiada alasan mengapa ekonomi membangun atau sedang pesat membangun seperti Malaysia dan Turkiye tidak boleh meningkatkan intraperdagangan mereka.
“Sehubungan itu, kita perlu melaksanakan dalam pelbagai bidang seperti semikonduktor, komoditi pertanian, E&E dan F&B,” kata Anwar sambil menekankan mengenai kepentingan kerjasama dalam sektor pertahanan dan pertukaran teknologi.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama Erdogan yang disiarkan secara langsung hari ini.
Sementara itu, Anwar menyeru kerjasama berterusan dengan Turkiye dalam sektor seperti tenaga, terutamanya dengan syarikat minyak dan gas negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat berkaitan, industri halal, penjagaan kesihatan, teknologi digital dan pengurusan bencana.
Beliau juga memuji kejayaan transformasi Turkiye dalam pengurusan syarikat penerbangan dan lapangan terbang sekali gus menggesa perkongsian amalan terbaiknya.
Sementara itu, Erdogan berkata dalam perbincangan terbarunya dengan Anwar, kedua-duanya mengkaji peluang kerjasama dalam pelbagai bidang seperti industri dan teknologi, tenaga, pelancongan dan perdagangan serta kebudayaan dan pendidikan.