PUTRAJAYA, 16 Dis (Iteenews) — Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama ekonomi merangkumi industri getah, pelancongan, Halal dan digital, grid tenaga dan bekalan gas serta pengurusan sempadan.
Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menggalakkan pihak berkuasa berkaitan kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama yang lebih kukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Digital Economy Promotion Agency of Thailand dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia pada 2023.
Ini, kata mereka, bertujuan mewujudkan persekitaran kondusif yang dapat menarik pelabur budiman untuk menyokong syarikat teknologi berpotensi di kedua-dua negara.
Kedua-dua Perdana Menteri juga mengalu-alukan perbincangan lanjut oleh para pegawai dari kedua-dua negara mengenai skim ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ yang dicadangkan oleh Thailand.
\”Sehubungan itu, kedua-dua negara bersetuju menimbang potensi kempen bersama untuk mempromosikan secara bersama inisiatif \’Visit Malaysia 2026\’ dan \’Amazing Thailand Grand Tourism Year 2025\’,\” katanya.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk membangunkan industri saling melengkapi yang lebih meluas di kedua-dua negara, memandangkan ekonomi Halal global diunjur mencecah US$5 trilion menjelang 2030.
“Ini termasuk meneruskan aktiviti penggalakkan eksport bersama bagi barangan dan perkhidmatan Halal; pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan perniagaan; penyelidikan dan pembangunan produk Halal serta kerjasama yang lebih aktif melibatkan sektor awam dan swasta Malaysia dan Thailand.
\”Malaysia juga bersedia menyokong pegawai Thai dalam membangunkan ekosistem Halal tempatan dengan menawarkan kursus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
\”Inisiatif ini akan memberi peluang kepada Thailand untuk mendapatkan pandangan tentang piawaian dan amalan Halal sambil membantu mengukuhkan sektor Halalnya,\” kata kenyataan itu.