Foto: Reuters/ Ahmad Al-Rubaye
Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Iteenews) — Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menekankan peranan Malaysia sebagai rakan strategik utama menjelang lawatan rasminya, sekali gus menegaskan komitmen Turkiye dalam mempererat hubungan dua hala dan kerjasama dalam isu global, khususnya perjuangan Palestin.
"Kami memulakan lawatan empat hari ini bagi memenuhi jemputan Malaysia, Indonesia dan Pakistan," kata Erdogan dalam satu hantaran di akaun rasmi X sebelum berlepas.
Hantaran itu, yang asalnya dalam bahasa Turki, menggariskan harapan beliau terhadap lawatan berkenaan serta kepentingan jelajah ke tiga negara itu.
Malaysia menjadi persinggahan pertama dalam lawatannya, dengan Erdogan menyifatkan negara itu sebagai "rakan kongsi strategik komprehensif sejak 2022" dan selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025.
"Sepanjang lawatan ke ketiga-tiga negara mesra dan bersaudara ini, kami akan menandatangani pelbagai perjanjian yang bertujuan memperkukuh lagi hubungan dua hala," katanya.
<!––>
Selain kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, Erdogan turut menekankan komitmen bersama antara Malaysia dan Turkiye dalam isu antarabangsa.
"Kami juga bekerjasama rapat di peringkat antarabangsa, terutama dalam isu Palestin. Insya-Allah, kita akan memperhebatkan usaha ini pada masa akan datang," kata pemimpin itu.
Dalam rangka lawatannya ke Kuala Lumpur, beliau dijadual menerima Ijazah Kehormat dari Universiti Malaya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam diplomasi global.