Malaysia Perlu Siap Siaga, Ada Semua Penampan Hadapi Perubahan Persekitaran Ekonomi Global

71e591d5287d50c52be45fff9f7e4f8766bee5494a3ecGabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (Kredit: BNM)

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Iteenews) –Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, perlu memastikan keadaan siap siaga dengan baik dan mempunyai semua penampan yang diperlukan untuk menghadapi perubahan persekitaran ekonomi global,kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata antara perkara penting dalam usaha itu adalah kepelbagaian ekonomi Malaysia.

“Satu elemen penting (dalam proses itu) adalah kepelbagaian ekonomi kami, yang menyediakan pelindung untuk membantu kami menyerap sebarang cabaran yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan CNBC News Channel di mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, D.C., baru-baru ini.

Abdul Rasheed ditanya mengenai kesan pilihan raya Presiden AS terhadap pertumbuhan masa depan Malaysia.

Beliau berkata pilihan raya Presiden AS adalah antara perkara yang diikuti rapat oleh BNM namun pada masa ini, situasinya sangat boleh berubah.

“Sudah tentu, apabila meneliti perkara yang Donald Trump telah katakan mengenai tiga perkara utama — tarif, imigresen dan pengurangan cukai — dasar ini secara asasnya adalah inflasi. Jika dilaksanakan, ia boleh memberikan kesan negatif terhadap pertumbuhan dan ini boleh menjadi inflasi.

“Situasi yang kita lihat pada masa ini (mengenai pilihan raya Presiden AS) adalah hanya retorik, dan ini bergantung kepada perkara yang akhirnya diterjemahkan menjadi satu bentuk dasar. Contohnya, pada 2016, terdapat banyak retorik kempen, tetapi tidak semuanya dibawa untuk penggubalan dasar dan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata tiga perkara utama itu mungkin mempunyai kesan seandainya dilaksanakan, bukan sahaja ke atas Malaysia sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka malah juga terhadap pertumbuhan global secara keseluruhan.