Kredit: Facebook Tengku Zafrul
Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 25 Ogos (Iteenews) — Malaysia dan India merancang untuk meningkatkan hubungan ekonomi mereka melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dipertingkatkan susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi baru-baru ini.
Dalam pertemuan dua hala mereka, Anwar dan rakan sejawatnyadari India, Narendra Modi membincangkan kerjasama erat dalam beberapa bidang seperti ekonomi digital, pembuatan semikonduktor, kecerdasan buatan, infrastruktur, keterjaminan makanan dan pelancongan.
“Kami akan meningkatkan kerjasama yang ada kepada kerjasama yang lebih menyeluruh untuk merangkumi semua aspek ini,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan IndustriTengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Iteenews.
Beliau berkata Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA), yang ditandatangani pada 2011 dan meliputi terutamanya perdagangan dan pelaburan, akan dipertingkatkan.
“Kedua-dua Perdana Menteri memberi kami tempoh tiga bulan untuk memberikan maklum balas mengenai bidang yang ingin difokuskan dan parameter yang diperlukan untuk penaiktarafan tersebut,” kata Tengku Zafrul, yang mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi ke India.
Dalam lawatan itu, pelbagai topik dibincangkan antara Malaysia dan India yang turut mewujudkan peluang perniagaan yang berpotensi besar dalam teknologi baharu, tenaga boleh baharu, kimia dan petrokimia serta pembangunan tenaga kerja.
Perdagangan antara Malaysia dan India mencatatkan US$16.5 bilion (US$1=RM4.372) tahun lepas.
India ialah destinasi ke-11 terbesar Malaysia untuk eksport dan sumber import ke-12 terbesar.