MAHB Catat 11.2 Juta Pergerakan Penumpang Pada November, Hampir Paras Sebelum Pandemik

bb6bb7beb295440220869e3b5f9318ec67373f1694d97

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Iteenews) — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan 11.2 juta pergerakan penumpang merentasi rangkaian lapangan terbangnya pada November 2024, mencerminkan pertumbuhan kukuh 16.1 peratus berbanding angka pada November 2023, sekali gus mencapai 96.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB menjelaskan pergerakan penumpang antarabangsa menyumbang 54 peratus kepada jumlah trafik, melebihi bahagian trafik sebelum pandemik sebanyak 48 peratus dan mencatatkan peningkatan 9.1 peratus berbanding tahap sebelum pandemik dengan enam juta penumpang.

Momentum trafik yang kukuh itu disokong oleh operasi syarikat penerbangan baharu, pengenalan lima laluan baharu dan 42 kekerapan mingguan tambahan, jelasnya.

“Sektor domestik juga turut memberangsangkan, merekodkan 5.1 juta pergerakan penumpang, peningkatan 10.0 peratus berbanding angka pada November 2023, mencecah 85.4 peratus daripada tahap sebelum pandemik 2019,” menurut pengendali lapangan terbang itu.

Sementara itu, lapangan terbang di Malaysia yang diuruskan olehnya mengendalikan 7.7 juta pergerakan penumpang, peningkatan 15.8 peratus berbanding angka pada November 2023, mencecah 88.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Sektor antarabangsa berdaya tahan, mencatatkan 4.1 juta penumpang, didorong oleh operasi syarikat penerbangan baharu dan permulaan laluan baharu.

Pergerakan domestik pada November 2024 mencecah 3.6 juta penumpang, mencapai 83.4 peratus daripada tahap prapandemik.

Menurut MAHB faktor muatan purata bagi November 2024 ialah 78.8 peratus, peningkatan 5.4 mata peratusan, dengan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan pada 82.9 peratus berbanding tahap sebelum pandemik.

“Dinamik yang menggalakkan bagi perjalanan udara ini mencerminkan permintaan yang optimistik, yang dijangka menyokong trajektori trafik yang positif untuk pemulihan,” katanya.