Lawatan Anwar Ke Bahrain Perkukuh Hubungan Dua Hala, Jemput Ke Sidang Kemuncak ASEAN

7ce3fdbc8bb258a0548c554a7bc0dce667b3dfd4afeceMalaysia-Bahrain

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Iteenews) — Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bahrain mencecah RM1.19 bilion (US$260 juta) pada 2024, berbanding RM1.5 bilion (US$330 juta) pada 2023.

Jumlah eksport Malaysia ke Bahrain meningkat 17.4 peratus kepada RM251.2 juta (US$54.8 juta) daripada RM214.0 juta (US$46.9 juta) pada 2023, menurut data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Prestasi positif itu didorong oleh peningkatan eksport peralatan pengangkutan ke Bahrain.

Jumlah import Malaysia dari Bahrain pula adalah RM934.3 juta (US$205.6 juta) daipada RM1.28 bilion (US$279.7 juta) pada 2023, disokong oleh peningkatan import produk logam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Bahrain.

“Kita percaya kerjasama yang lebih kukuh dengan Bahrain menawarkan manfaat bersama, membuka peluang baharu untuk perniagaan di kedua-dua negara contohnya dalam sektor kewangan Islam serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit.

“Kita menanti untuk meneroka usaha sama yang dapat memacu pertumbuhan dan kemakmuran untuk Malaysia dan Bahrain,” katanya kepada Iteenews.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain bermula malam ini, menandakan satu lembaran baharu dalam hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain.