Kredit: Kyndryl Malaysia
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Iteenews) — Penyedia perkhidmatan infrastruktur teknologi maklumat berpangkalan di Amerika Syarikat, Kyndryl Inc, membuka pejabat baharu di sini sekali gus membuktikan komitmennya terhadap pelanggan tempatan.
Dalam kenyataan pada Khamis, Kyndryl menjelaskan pencapaian itu turut menekankan komitmennya untuk memperkukuh usaha menjadikan Malaysia sebagai hab ASEAN bagi pemodenan kerangka utama.
“Pejabat baharu ini akan menjadi pusat operasi Kyndryl di Malaysia dan menyokong misi untuk menyumbang kepada ekonomi digital negara.
“Kyndryl melabur dalam pembangunan kemahiran tempatan dan pembinaan keupayaan pelanggan dalam bidang utama seperti automasi, awan, kecerdasan buatan, serta keselamatan dan daya tahan siber,” menurutnya.
Syarikat itu juga menjalinkan perkongsian strategik untuk menyediakan akses kepada pelbagai teknologi dan keupayaan bagi pelanggannya di ASEAN.
Awal tahun ini, Kyndryl melancarkan Pusat Kecemerlangan Pemodenan Kerangka Utama ASEAN yang pertama di Malaysia, tambahnya.
Menurut Kyndryl, pusat kecemerlangan itu secara keseluruhannya dipacu oleh rakyat tempatan Malaysia.
Pusat tersebut memberikan perkhidmatan kepada perniagaan di seluruh ASEAN dengan menawarkan panduan strategik dan kepakaran kerangka utama untuk membantu perusahaan mengemas kini, memodenkan, dan memindahkan aplikasi kerangka utama legasi ke persekitaran asli awan, menurutnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan Kyndryl memilih negara ini untuk menempatkan pusat Kecemerlangan serantau dan hab ASEAN mereka untuk pemodenan kerangka utama membuktikan landskap pelaburan yang kondusif di Malaysia.