KUALA LUMPUR, 11 Nov (Iteenews) — Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat RM5 bilion kepada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024 daripada RM14.67 bilion pada suku ketiga 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata ini menjadikan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi Januari hingga September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.
“Prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024.
“Pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk amanah pelaburan hartanah, utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.
“Bagaimanapun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Timur Tengah, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump minggu lepas,” kata Ahmad Zulqarnain.
Beliau berkata pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang besar kepada pendapatan suku ketiga 2024, menjana sebanyak RM18.32 bilion berbanding RM9.17 bilion dalam suku ketiga 2023.
Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyediakan aliran pendapatan stabil dan mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran jangka pendek — dengan kelas aset ini, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 33 peratus atau RM6.51 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2024.
Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM820 juta dalam suku ketiga 2024 berdasarkan kadar mata wang tetap.