KURANG KESEDARAN PUNCA RAMAI RAKYAT MALAYSIA MENDERITA KERANA COPD

Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Respiratori dan Pulmunologi Intervensi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Syed Ajmal Syed Ali

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Iteenews) — Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) merupakan masalah kesihatan yang serius namun kurang mendapat perhatian di Malaysia kerana tahap kesedaran dan pemahaman mengenai penyakit itu yang masih rendah.

 

Penyakit itu menimpa sebahagian besar populasi dunia dan merupakan punca kematian tertinggi di seluruh dunia dengan 3.23 juta kematian pada 2019.

 

Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Respiratori dan Pulmunologi Intervensi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Syed Ajmal Syed Ali dalam kenyataan berkata tahap kesedaran rendah merupakan cabaran utama Malaysia dalam melawan COPD yang turut meliputi bronkitis kronik dan emfisema.

 

Beliau berkata prevalens merokok yang tinggi merupakan pendorong faktor utama penyakit itu apabila kira-kira 19 peratus individu berusia 15 tahun ke atas merupakan perokok di Malaysia.

 

\”Merokok ialah faktor risiko utama COPD dan ia berkait secara langsung dengan kekerapan dan berapa lama anda merokok. Dari segi simptom termasuk batuk berterusan yang pada awalnya sering disangka sebagai batuk biasa akibat merokok atau asma, banyak kes hanya didiagnos apabila simptom semakin teruk, biasanya ketika sudah berusia 60 tahun dan ke atas,\” katanya.