Kumpulan The Hague Keluarkan Kenyataan Bersama Sulung Mengenai Palestin

THE HAGUE (Belanda), 31 Jan (Iteenews) — Wakil kerajaan dari Belize, Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Malaysia, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan hari ini berhimpun di The Hague, Belanda, bagi merasmikan penubuhan Kumpulan The Hague.

Malaysia diwakili oleh Duta Besar ke Belanda, Datuk Roseli Abdul.

Dalam satu kenyataan bersama bersejarah, negara-negara peserta menegaskan komitmen mereka untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan memastikan kebertanggungjawapan terhadap jenayah yang didakwa berlaku di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Kenyataan itu dibacakan bagi pihak Kumpulan The Hague oleh wakil Afrika SelatanZane Dangor, dalam satu sidang media bersama.

Berpandukan matlamat dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wakil negara anggota menekankan tanggungjawab kolektif untuk mempertahankan hak mutlak semua bangsa, termasuk hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Kenyataan itu turut merujuk beberapa instrumen perundangan utama, termasuk perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes Afrika selatan lwn Israelpada 29 Dis 2023, yang mencerminkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan berlakunya jenayah genosid di Palestin.

<!––>

Selain itu, kenyataan berkenaan merujuk kepada pendapat nasihat ICJ pada 19 Julai 2024 mengenai implikasi undang-undang dasar dan tindakan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, serta keputusan ICJ pada 2004 mengenai kesan undang-undang pembinaan tembok di wilayah itu.

Kumpulan itu turut mengingatkan mengenai waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 Nov 2024 terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, yang menunjukkan “asas munasabah” bahawa mereka bertanggungjawab atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kenyataan itu juga merujuk keputusan ICJ pada 30 April 2024 dalam kes Nicaragua lwn Jerman, yang menegaskan kewajipan semua negara di bawah undang-undang antarabangsa dalam pemindahan senjata kepada pihak bertelagah.