Kontrak Niaga Hadapan MSM Dijangka Tidak Berubah Minggu Depan

c138997c2723e39c520a3cbf2265ace45f58c5daba301

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Iteenews) — Harga kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mendatar dengan sedikit penurunan susulan aktiviti pengambilan untung minggu depan, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng memberitahu Iteenews harga mungkin berada dalam julat antara RM4,500 satu tan sehingga RM4,800 satu tan minggu depan.

Sementara itu, Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata pihaknya menjangkakan pasaran bergerak antara RM4,000 satu tan hingga RM4,300 satu tan minggu depan.

Beliau berkata spekulator mungkin mempengaruhi harga, menyebabkan lonjakan dalam kontrak niaga hadapan MSM.

“Akibatnya, India telah membatalkan pembelian MSM dan produk berkaitan dari Malaysia, dengan harga yang tinggi sebagai sebab utama.

“Pergerakan harga ini sebahagian besarnya didorong oleh dagangan spekulatif,” katanya.

Minggu ini, pasaran MSM didagangkan kebanyakannya tinggi, disokong oleh harga olein sawit Dalian yang lebih kukuh, prestasi minyak soya yang lebih utuh dan kenaikan harga minyak mentah.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, bulan kontrak yang baru disenaraikan Mac 2025 naik RM136 kepada RM4,836 satu tan, April 2025 meningkat RM170 kepada RM4,762 satu tan dan Mei 2025 menambah RM165 kepada RM4,664 satu tan.