Kolej IJN Dinaik Taraf Sebagai Kolej Universiti, Perluas Peranan Dalam Pendidikan Penjagaan Kesihatan

Kolej Universiti IJN (IJNUC) Kolej Universiti IJN (IJNUC) Kolej Universiti IJN (IJNUC)

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Iteenews) — Kolej Institut Jantung Negara (IJN) kini secara rasmi dinaik taraf kepada Kolej Universiti IJN (IJNUC) selepas mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Mei 2025.

Peningkatan status itu mengukuhkan lagi peranan institusi tersebut sebagai pusat utama pendidikan tinggi dalam bidang kardiovaskular, kesihatan sokongan dan pengurusan penjagaan kesihatan.

IJN Holdings dalam kenyataan hari ini menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pencapaian penting dalam perkembangan institusi itu sertakesediaannya untuk melatih generasi profesional penjagaan kesihatan yang akan datang.

“Ditubuhkan pada 2008, Kolej IJN diasaskan bagi memenuhi permintaan Malaysia yang semakin meningkat terhadap pendidikan khusus dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Sebagai sebahagian daripada kumpulan IJN Holdings bersama Institut Jantung Negara yang terkenal di peringkat antarabangsa dan diiktiraf sebagai pusat jantung utama Malaysia, institusi ini menawarkan latihan berdasarkan situasi sebenar yang dibimbing oleh pakar dan profesional penjagaan kesihatan terkemuka,” menurut kenyataan itu.

Program utama IJNUC, Sijil Siswazah dalam Sains Kardiovaskular dan Torasik, telah melahirkan lebih 400 pelatih, yang kini berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan di dalam dan luar negara.

Sehingga kini, lebih 600 profesional penjagaan kesihatan telah menamatkan pengajian di institusi tersebut, mencerminkan kecemerlangan akademik dan kesesuaian program dengan keperluan industri.

Dengan status baharu itu, IJNUC turut menerima kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan tiga program baharu peringkat ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan (Kepujian) dan Diploma Kejururawatan, yang akan bermula pada pengambilan September 2025 di kampus Yayasan Selangor, bersebelahan Hospital IJN di Kuala Lumpur.

IJNUC juga merancang untuk memperkenalkan beberapa program baharu seperti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Farmaseutikal, Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Francais), Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi; Ijazah Sarjana dalam Pembedahan Kardiotorasik, Psikologi Kesihatan dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan; serta Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Pengurusan Penjagaan Kesihatan.