Keseluruhan Pasaran Positif, FBM KLCI Ditutup Rendah Berikutan Pengambilan Untung

d27bec80802b9a9f6d2fc3bceba552cf668e1a055171c

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Iteenews) — FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri minggu ini dengan prestasi sedikit rendah pada Jumaat, berikutan pengambilan untung menguasai dagangan dalam keadaan pelabur berhati-hati.

Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras itu turun 2.39 mata atau 0.14 peratus kepada 1,613.25 daripada 1,615.64 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.21 mata lebih tinggi kepada 1,615.85 dan bergerak antara 1,611.25 hingga 1,617.57 sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 574 berbanding 465, manakala 524 kaunter tidak berubah, 913 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurang kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.82 bilion daripada 3.24 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi FBM KLCI itu berbeza daripada pergerakannya selamaempat hari berturut-turut sebelum itu yang mencatatkan kenaikan.

Beliau berkata ini kerana pengambilan untung berlaku, sekali gus mencerminkan penurunan di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata dalam indeks itu, saham tenaga dan perindustrian menerajui kenaikan.