Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) bergambar bersama pengerusi penduduk pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung di Pusat Komuniti, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil 2 hari ini. Turut sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Novan Amirudin (dua, kanan).
PUCHONG, 8 Feb (Iteenews) — Kerjasama dan penglibatan secara menyeluruh dan proaktif antara masyarakat setempat dan agensi yang terlibat amat penting dalam memastikan setiap program-program kerajaan dapat memberi impak yang baik kepada rakyat.
Menteri Kewangan IIDatuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sambutan oleh komuniti setempat, selainkomitmen oleh agensi kerajaanterlibat dapat memastikan setiap program dilaksanakan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
"Apabila(program) dibuat dengan cara yang betul dan disambung dengan cara yang baik (oleh komuniti setempat), kita akan mendapat kejayaan (yang sepatutnya). Ada kawan-kawan (usahawan) yang kita tengok memang dah berjaya, dia bermula dengan tiada apa-apa dan sekarang dia ada kedai sendiri.
"Itulah cara dibuat oleh CIMB dan Kerajaan MADANI.Kita bukan sekadar memberi sokongan sekali, kita nak bina ekosistem yang akan berkembang, di mana kita labur untuk bina komuniti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni MADANI anjuran CIMB Group di sini, hari ini.
Melalui program Santuni MADANI, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) memperuntukkan RM3.6 juta selama dua tahun, bagi memacu impak jangka panjang dan positif untuk kira-kira 9,000 penghuni di empat projek perumahan rakyat (PPR) dengan mengukuhkan pembinaan kapasiti, menawarkan peluang peningkatan kemahiran, menyediakan akses pendidikan berkualiti, serta memupuk kehidupan yang mampan.
Santuni MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan pemimpin dari pelbagai Kementerian Persekutuan, Agensi, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Dalam ucapan perasmiannya, Amir Hamzah berkata kerajaan komited dalam memastikan tiada insan yang ketinggalan dalam usaha ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan lestari.
"Program diterajui CIMB menunjukkan betapa pentingnya peranan sektor swasta dalam memperkasa golongan rentan dan menggerakkan perubahan bermakna melalui inisiatif Santuni MADANI.
"Usahanya untuk mengetengahkan keperluan semua lapisan umur dengan menyediakan sokongan menyeluruh khusus adalah dihargai dan sejajar dengan matlamat kerajaan dalam membina masyarakat berdaya saing dan progresif dengan mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan," katanya.