Kerjasama Hidrogen Malaysia, Jepun Diharap Dapat Dimudah Cara Menjelang Mei 2025 – PM Anwar

ba1e5bdbafdb76d498bdf4552d7152f96780a9dddede5Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama rakan sejawatnya dari Jepun Shigeru Ishiba mengadakan sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra hari ini.

PUTRAJAYA, 10 Jan (Iteenews) — Projek kerjasama tenaga hidrogen bersih dan penyahkarbonan antara Sarawak Economic Development Corporation Energy (SEDCE), Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan pihak konsortium Jepun diharap dapat dimudah cara menjelang Mei tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Petros serta anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), CCS Ventures Sdn Bhd, dan pihak konsortium Jepun yang terdiri daripada Japan Petroleum Exploration Co Ltd, JGC Holdings Corporation dan Kawasaki Kisen Kaisha Ltd, telah menandatangani perjanjian tapak penyimpanan (SSA) bagi medan minyak terperangkap M3 di luar pesisir Sarawak, pada 26 Feb, 2024.

SSA itu bukan sahaja membolehkan kajian kebolehlaksanaan tapak penyimpanan CO2 dengan medan minyak terperangkap M3 (Projek M3 CCS) muka dilaksanakan malah juga merangkumi perancangan pembangunan tapak penyimpanan CO2 termasuk terminal daratan dan paip penyaluran, serta penilaian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerjasama itu dijangka berjaya, khususnya apabila Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah memberikan jaminan mengenai pembangunan projek itu serta sokongan daripada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba.

“Kami berharap dapat memudah cara perkara ini secepat mungkin, agar dapat memenuhi beberapa tarikh akhir, berkemungkinan menjelang Mei apabila kami bertemu sama ada di Tokyo atau di Kuala Lumpur,” kata beliau pada sidang media bersama dengan Ishiba di sini, pada Jumaat.

Ishiba tiba di Malaysia pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Oktober lepas.

Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada Jepun atas hubungan yang sekian lama dengan Petronas dalam bidang gas asli cecair (LNG).

Pada masa sama kalangan syarikat Jepun kini terlibat dalam usaha pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon di negara ini melalui dasar tenaga bersih Petronas dan menerusi penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric Power dan Hiroshima Gas.

Mengulas mengenai sektor unsur nadir bumi (REE), Anwar berharap dapat melibatkan Jepun dalam pembangunan loji pemprosesan REE.