Kerjasama Dengan Arm Holdings Impak Positif Kepada Rantaian Nilai Semikonduktor Malaysia

eb054dc17b1f3240d189bd0b6b1ecad8628dd9e6ed84cDatuk Seri Wong Siew Hai (Gambar fail)

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Iteenews) — Kerjasama strategik Malaysia dengan Arm Holdings Plc yang beribu pejabat di United Kingdom akan memajukan rantaian nilai semikonduktor domestik ke arah reka bentuk litar bersepadu (IC), kata Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai.

Menurutnya kerjasama penting ini akan turut menyumbang kepada hasrat Malaysia untuk muncul sebagai pusat reka bentuk IC.

Kerjasama ini akan membantu syarikat semikonduktor Malaysia beralih daripada ujian dan pemasangan atau operasi ‘back-end’ kepada aktiviti lanjutan ‘front-end’ atau proses awal seperti reka bentuk IC, dan seterusnya meningkatkan eksport cip buatan tempatan negara ini.

“Untuk mereka bentuk IC, kita perlu mengakses harta intelek (IP) dan teknologi teras yang diperlukan untuk reka bentuk IC. Arm akan menyediakan sumber-sumber ini, dan kami berharap penglibatan mereka akan menyokong proses ini,” kata Wong dalam temu bual bersama Iteenews hari ini.

Arm yang dimiliki oleh SoftBank Group adalah penyedia teknologi utama bagi IP pemproses manakala Malaysia adalah pengeksport semikonduktor terbesar keenam di dunia.

Bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat reka bentuk IC, Wong menekankan bahawa Malaysia perlu menangani jurang bakat untuk memajukan reka bentuk IC memandangkan kebanyakan syarikat multinasional telah mempunyai kemampuan yang diperlukan.

Bagaimanapun, syarikat tempatan perlu membangunkan kepakaran yang sama untuk merapatkan jurang sedia ada.

Menerusi kerjasama ini, Wong berharap Arm dapat membantu Malaysia menangani jurang ini dan menyediakan kelompok jurutera reka bentuk IC, yang membolehkan syarikat tempatan mereka bentuk produk mereka sendiri.