Kerajaan Unjur Kadar Inflasi Meningkat Secara Sederhana Antara 2 Hingga 3.5 Peratus

47dce742430824890920db8b907e5339603e0fdee4345Kompleks Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Iteenews) — Kerajaan mengunjurkan kadar inflasi akan meningkat secara sederhana pada 2025 dalam julat dua peratus hingga 3.5 peratus, menurut Kementerian Kewangn (MoF).

MoF berkata unjuran itu telah mengambil kira pelbagai faktor utama termasuk trend inflasi bagi komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) terutamanya inflasi kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP.

"Unjuran ini turut mempertimbangkan perubahan harga komoditi global serta pelaksanaan beberapa dasar domestik seperti peningkatan kadar gaji minimum, penstrukturan semula skim gaji penjawat awam, penyasaran subsidi bahan api petrol serta peluasan skop perkhidmatan bercukai dan perubahan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus," katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis bagi menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Wan Ahmad Fayhsal ingin tahu adakah kerajaan mengunjurkan prospek inflasi bagi 2025 mengambil kira inflasi makanan dan minuman meningkat kepada 2.6 peratus pada November 2024 berbanding 2.3 peratus bulan sebelumnya dengan kumpulan makanan dan minuman menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

MoF berkata trend pertumbuhan harga kumpulan makanan dan minuman, merupakan penyumbang terbesar dalam IHP dengan wajaran 29.8 peratus telah menunjukkan penurunan ketara sejak 2022, iaitu daripada 5.8 peratus (2022) kepada 4.8 peratus (2023) dan seterusnya dua peratus (2024).

Bagi subkumpulan makanan di rumah yang mengukur perubahan harga barangan makanan mentah seperti beras, daging, ikan dan ayam, inflasi bagi subkumpulan ini pada bulan Oktober dan November 2024 menunjukkan peningkatan sederhana sebanyak 0.6 peratus bagi kedua-dua bulan berkenaan.

"Ini membuktikan bahawa langkah-langkah diambil oleh kerajaan seperti dasar pelaksanaan subsidi bersasar, kawalan harga serta pemantauan dan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya membantu menstabilkan harga barang makanan," katanya.

Selain itu, harga komoditi utama dunia turut dijangka kekal stabil akan mengurangkan tekanan kepada inflasi meskipun terdapat ketidaktentuan dalam persekitaran global.