Kerajaan Tawar Pelbagai Insentif Untuk Tarik Pelaburan Dalam Industri Nadir Bumi – MITI

a9c0ad64bc0500923abea7ef12c6b37d676ba4c3569e7

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Iteenews) –Kerajaan komited membangunkan ekosistem industri nadir bumi (REE) merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran dengan menawarkan pelbagai insentif serta sokongan strategik bagi menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkanbahawa sebuah Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri REE Peringkat Pertengahan dan Hiliran telah ditubuhkan bagi mengenal pasti peluang pelaburan serta keperluan insentif khas untuk sektor berkenaan.

Ketika ini, syarikat tempatan dan asing boleh menikmati insentif umum di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 merangkumi Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan dengan pengecualian cukai separa atau sepenuhnya selama lima hingga 10 tahun bagi aktiviti pembuatan yang menggunakan REE telah diproses.

“Selain itu, projek bersepadu melibatkan pelaburan tinggi serta memberi manfaat besar kepada ekonomi negara boleh dipertimbangkan untuk menerima insentif cukai khas dengan kadar lebih tinggi dan tempoh lebih panjang berbanding insentif biasa,” kata MITI bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa).

Ahmad Marzuk ingin tahu insentif atau sokongan yang perlu diberikan kepada pelabur tempatan dan asing bagi merangsang penglibatan mereka dalam pembangunan industri REE terutamanya di peringkat pertengahan dan hiliran.

MITI berkata kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu dalam Belanjawan 2025 yang memperkenalkan pendekatan ‘Tiering Approach’ dan Insentif ‘Outcome-Based’.

“Pendekatan ini membolehkan syarikat menikmati insentif lebih fleksibel, tidak hanya terhad kepada produk tertentu sekali gus meningkatkan daya saing sektor pembuatan serta menarik pelaburan dalam teknologi canggih dan inovasi baharu dalam industri REE.

“Bagi menyokong pertumbuhan industri ini, kerajaan telah melaksanakan moratorium pengeksportan bahan mentah REE berkuat kuasa 1 Januari, 2024 bagi memastikan sumber REE tempatan digunakan sepenuhnya dalam pengeluaran produk bernilai tambah tinggi di peringkat pertengahan dan hiliran,” katanya.

Menurut MITI, sebagai contoh, penghasilan supermagnet berasaskan REE tempatan akan menjadi pemacu utama untuk industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, kenderaan elektrik, aeroangkasa, peranti perubatan serta tenaga boleh baharu.