Gambar Fail
Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Iteenews) — Inisiatif kerajaan MADANI melaksanakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan satu usaha yang amat bermakna dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup pada masa ini.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata komitmen kerajaan itu diterjemahkan menerusi Belanjawan 2025 yang menyaksikan pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, iaitu peningkatan tertinggi setakat ini.
"Walaupun dari segi asasnya rakyat memerlukan banyak bantuan lain, STR adalah satu inisiatif yang sering ditunggu-tunggu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka, dan pada masa sama memberikan sinar harapan bahawa kerajaan mengambil berat dan prihatin.
"Memanglah ia tidak cukup kerana keperluan kos sara hidup untuk satu keluarga adalah lebih RM3,000 sebulan, namun jika pemberian itu dijadikan tambahan kepada sumber pendapatan keluarga maka boleh dikatakan STR adalah satu jumlah sangat bermakna dan boleh memberi keselesaan hidup," katanya kepada Iteenews.
Barjoyai berkata STR perlu diteruskan pada masa depan untuk kelangsungan hidup rakyat, tetapi kerajaan perlu mewujudkan kaedah yang menjadikan pelaksanaan bantuan tersebut lestari tanpa membebankan kewangan negara.
Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan tabung endowmen diwujudkan melalui penubuhan sebuah institusi keselamatan sosial yang dapat menjana pendapatan tahunan bagi memastikan dana STR mencukupi dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada belanjawan tahunan kerajaan.
Sementara itu, Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pemberian STR penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat dengan mendapat limpahan kemakmuran secara terus daripada kerajaan.
"Impak STR juga dapat memberikan satu bentuk kebergantungan masyarakat kepada kerajaan dalam merealisasikan subsidi secara bersasar serta membentuk pelan ekonomi yang lebih terancang," katanya.