Kerajaan Jelaskan Langkah Hadapi Tarif Timbal Balas AS Di Parlimen Hari Ini

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Iteenews) — Perdana MenteriDatuk Seri Anwar Ibrahimhari ini akan memberi penerangan terperinci mengenai langkah serta perancangan kerajaan dalam mendepani tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas terhadap semua import ke negara itu.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula jam 11 pagi.

Penerangan itu dijangka menyentuh implikasi langsung tindakan AS terhadap ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan dan pelaburanserta pendekatan proaktif kerajaan dalam menyelaras respons merentas kementerian dan industri.

Ia turut merangkumi penilaian semula terhadap dasar semasa bagi industri tertentu serta perancangan jangka panjang bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran ketegangan perdagangan global.

"Perdana Menteri akan menerangkan mengenai tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara tersebut dan kesannya ke atas ekonomi Malaysia," menurut Aturan Mesyuarat itu.

Mesyuarat Khas hari ini diadakan atas permintaan Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi kesan langsung kepada rakyat dibahaskan secara menyeluruh.

Taklimat peringkat menteri yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) dijangka turut merangkumi strategi jangka pendek dan sederhana kerajaan dalam menghadapi tindakan tarif tersebut.

Selepas sesi penerangan, Ahli Parlimen akan diberi ruang untuk mengemukakan soalan, cadangan dan pandangan, sebelum sesi diakhiri dengan penjelasan daripada menteri-menteri berkaitan.

Pada 9 April lalu, pentadbiran AS mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif balas individu yang dikenakan ke atas kebanyakan negara, namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.