KUALA LUMPUR, 28 Sept(Iteenews) –TA Securities Holdings Bhd mengunjurkan kerajaan memperuntukan sebanyakRM403.7 bilion untuk Belanjawan 2025, masing-masing merangkumi RM305.7 bilion dan RM97.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Menurut laporan firma penyelidikan itu, pertumbuhan hasil yang lebih kukuh berbanding perbelanjaan akan membawa kepada defisit fiskal yang lebih rendah sebanyakRM76.4 bilion, atau 3.7 peratus pada 2025, berbanding unjuran 4.2 peratus pada 2024, dan berada di landasan untuk mencapai sasaran 3.5 peratus pada 2026.
"Ini akan disokong oleh pengembangan ekonomi, yang kami jangkakan berkembang lebih pantas padalima peratus pada 2025.
"Ia akan didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, dan disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kenaikan gaji dan pelaburan swasta," katanya.
TA Securities juga mengunjurkanhasil kerajaan akan meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM325.3 bilion dalam Belanjawan2025 berbanding RM307.6 bilion pada 2024.
Kenaikan itu masing-masing disebabkan oleh kenaikan 4.2 peratus dan 11.7 peratus dalam cukai langsung dan tidak langsung, susulan ekonomi yang terus berkembang pada kadar lebih pantas, pengembangan perniagaan dan peningkatan pendapatan.
"Tiada cukai baharu dijangka pada tahun depan selain daripada cukai minimum global 15 peratus dan cukai barang bernilai tinggi yang ditangguhkan, selain menguatkuasakan pelaksanaan fasa demi fasa e-invois, yang akan memasuki peringkat akhir pada 2025 dan perluasancukai jualan dan perkhidmatan.
"Ini akan mengimbangi kemungkinan pembayaran dividen yang lebih rendah oleh Petronas disebabkan oleh hasil yang diketepikan daripada operasinya di Malaysia Timur,” katanya.
Sementara itu, TA Securities menjangkakan Belanjawan 2025 akan menyentuh berkaitan langkah-langkah utama dan bakal penerima manfaat dalam bidang tertentu seperti projek infrastruktur awam seperti Mass Rapid Transit (MRT3) dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR), pembangunan saksama dan koridor pertumbuhan baharu seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).