Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Iteenews) — Kepelbagaian operasi dan pasaran menjadi keperluan penting bagi perniagaan di Malaysia untuk kekal berdaya saing, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Beliau berkata demi kelangsungan hidup banyak industri, kepelbagaian telah menjadi elemen penting untuk kelangsungan perniagaan.
“Sebagai contoh, dalam sektor solar, tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada pengeluar dari Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja akan meningkatkan secara ketara kos eksport ke AS.
“Oleh itu, syarikat dalam negara-negara ini, yang menyumbang kira-kira 60 peratus daripada eksport solar ke AS, perlu mempelbagaikan pasaran untuk kekal berdaya saing. Cabaran kini digalas mereka untuk mencari pasaran baharu, termasuk dalam kalangan negara BRICS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum “Budget Insights: Moving Towards 2025,” yang dianjurkan oleh MIDA dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di MIDA Sentral, di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa industri semikonduktor global turut berdepan cabaran akibat sekatan terkini AS terhadap syarikat semikonduktor China dan rantaian bekalannya.
“Ini memberi peluang kepada Malaysia berikutan kita melihat minat daripada syarikat China dalam bidang semikonduktor. Syarikat-syarikat ini, termasuk pengeluar semikonduktor, pembekal peralatan, dan pengeluar bahan menyasarkan kepelbagaian operasi mereka dari China untuk mengurangkan pendedahan kepada risiko geopolitik.
"Malaysia menerusi persekitaran pelaburan yang menggalakkan, dilihat sebagai destinasi menarik bagi syarikat ini untuk mewujudkan operasi yang tidak melibatkan pemilikan ekuiti China sekali gus mengurangkan risiko di samping terus mengakses pasaran global," kata Sikh Shamsul Ibrahim.
Beliau berkata, berikutan perubahan ini, kepelbagaian adalah strategi utama bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.