Kelemahan Benteng Pertahanan Halang TFC Raih Tiga Mata Penuh

Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali (Gambar fail) Pemain Terengganu FC (TFC) Nelson Bonilla (tengah) dikawal oleh pemain Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini.– fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Badrul Afzan berkata skuad Penyu berdepan masalah kekurangan pemain apabila beberapa tonggak utama pertahanan termasuk Muhammad Azam Azmi Murad mengalami kecederaan pada saat akhir.

Susulan itu beliau terpaksa membuat rombakan pada kesebelasan utama sehari sebelum perlawanan yang ternyata memberi impak besar kepada prestasi keseluruhan pasukan.

"Perlawanan malam ini kita agak sukar kerana kekurangan pemain terutama di bahagian pertahanan. Secara keseluruhan pemain banyak membuat kesilapan.

"Apa pun pemain dah beri segalanya. Saya terima keputusan satu mata walaupun kita mengharapkan tiga mata penuh bermain di tempat sendiri," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Pada perlawanan itu TFC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Sabah FC.

Keputusan tersebut menyebabkan skuad Penyu gagal merapatkan jurang mata dengan Sabah FC, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk menamatkan liga di kedudukan tiga terbaik musim ini.

Sementara itu pengendali Sabah FC Martin Stano berkata masalah komunikasi antara pemain menyebabkan skuad Sang Badak kehilangan dua mata pada saat akhir.

Bagaimanapun beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnyayang bekerja keras untuk memastikan skuad Sang Badak tidak berputih mata.

<!––>

"Awal permainan agak baik, dengan pemain kami memberi banyak tekanan, dan mencipta banyak peluang, namun disebabkan beberapa kesilapan, terutama semasa mengambil sepakan sudut.. hanya mampu seri,” katanya.

Sabah FC ketika ini menduduki tangga ketiga liga dengan 36 mata manakala TFC di kedudukan keempat dengan perbezaan empat mata.

— BERNAMA