PUTRAJAYA, 29 Mei (Iteenews) — Kecekapan, dedikasi dan semangat kerja berpasukan semua pihak menjadi faktor utama kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala urusan berjalan lancar hasil komitmen luar biasa daripada jentera kerajaan, termasuk rakyat yang memahami keperluan Malaysia dalam menganjurkan sidang kemuncak berkenaan.
“Saya lihat di semua peringkat, anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, Imigresen, MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd), pengurusan hotel, Kementerian Luar yang menyelaraskan, (hingga) Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan protokol.
“Saya pun pening dengan protokol, tapi saya hormat apa yang pegawai arahkan perdana menteri. Saya ikut (semua aturan protokol), kenapa? Sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai pasukan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
— BERNAMA