Keazaman Politik, Insentif Industri, Dasar Penting Perkasa Peranan Wanita

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) melihat buku Dasar Wanita Negara yang dilancarkan pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), Sabtu lepasTurut hadir Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kanan), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kiri) dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua, kanan). –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 10Mac (Iteenews) — Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang disambut Sabtu lepas menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan pemerkasaan golongan itu bagi meningkatkan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja baik di sektor awam mahupun swasta namun kekurangan keterlibatan golongan itu pada peringkat pembuat dasar perlu diberi perhatian.

Dalam usaha untuk mencapai hasrat itu, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata tiga aspek yang perlu diberi perhatian ialah keazaman politik, insentif kerajaan kepada industri serta dasar dan perundangan.

Beliau berkata keazaman politik merupakanasas untuk memperkukuhperanan wanita dalam sektor pembangunan memandangkan penyertaan mereka dalam politik ketika ini masih rendah iaitu hanya 13.5 peratus ahli Dewan Rakyat wanita bagi Parlimen ke-15.

"Peningkatan komitmen politik diperlukan untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang politiktermasuk menetapkan kuota minimum bagi calon wanita dalam pilihan raya dan menyediakan program latihan kepimpinan khusus untuk wanita," katanya ketika dihubungi Iteenews.

Beliau berkata insentif kerajaan seperti pengecualian cukai atau subsidi kepada syarikat yang mengamalkan dasar mesra wanita seperti waktu kerja fleksibel dan kemudahan penjagaan anak pula penting dalam menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan.

Massila berkata penggubalan dan penguatkuasaan dasar serta undang-undang yang menyokong kesaksamaan gender juga adalah kritikal termasuk bagi melarang diskriminasi berdasarkan jantina di tempat kerja dan dasar yang memastikan peluang kenaikan pangkat saksama bagi wanita.

"Sebagai perbandingan, negara-negara Eropah yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang komprehensif dan melaksanakan dasar antidiskriminasi yang tegas terhadap wanita mengandung telah menunjukkan peningkatan ketara dalam penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

"Sebagai contoh, negara-negara seperti Sweden dan Norway mempunyai kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang tinggi, yang dikaitkan dengan dasar sokongan keluarga yang kukuh dan persekitaran kerja yang inklusif," katanya.