Jumlah Dagangan Ternakan Di Malaysia Meningkat RM254.7 Juta Kepada RM1.4 Bilion Pada 2023

27bab117377ebddc4dcf3de7b9935f19676cedbc7f194

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Iteenews) — Jumlah perdagangan industri ternakan di Malaysia meningkat23.2 peratus atau RM254.7 juta kepada RM1.4 bilion pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM dalam Malaysia Trade Statistics Review (MTSR) 2024, pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan permintaan terhadap ternakan dan produk berkaitan bagi memenuhi keperluan penggunaan domestik dan industri.

MTSR 2024 mensintesis prestasi perdagangan Malaysia untuk industri ternakan dengan memfokuskan kepada ternakan terpilih seperti ayam, telur, lembu, biri-biri dan kambing, itik dan babi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata industri ternakan Malaysia telah mencatatkan perkembangan dan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun ini, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada sektor pertanian negara.

“Sektor ayam dan telur kekal sebagai penyumbang terbesar kepada subsektor ternakan dan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan protein rakyat Malaysia.

“Nilai eksport ayam mencapai RM726.7 juta pada 2023, meningkat 27peratus atau RM154.4 juta berbanding tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya pengeluaran telur di Malaysia terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM671.2 juta pada 2023 dan memenuhi permintaan pasaran di peringkat serantau.

Beliau berkata industri ruminan di Malaysia masih didominasi oleh sektor luaran.

“Nilai import lembu hidup meningkat pesat bagi memenuhi penggunaan domestik dengan peningkatan nilai import daripada RM82.8 juta pada 2022 kepada RM108.7 juta pada 2023.