KUALA LUMPUR, 7 Jan (Iteenews) –MIDF Amanah Investment Bank Bhdberpendapat bahawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi hab strategik berdasarkan sambungannya ke pelabuhan Johor dan Singapura, yang menyediakan ketersambungan serantau serta global.
Cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata produk yang dikeluarkan di JS-SEZ boleh dieksport melalui kedua-dua pelabuhan.
“Pelabuhan Singapura menghubungkan lebih daripada 600 pelabuhan di 130 negara, menjadikannya sebagai salah satu daripada pelabuhan perkapalan global yang paling berkaitan.
“Selain itu, pelabuhan tersebutsecara konsisten menduduki tempat teratas di dunia untuk pemprosesan kontena, antara lain,”katanya dalam satu nota hari ini,
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong hari ini menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ di samping enam memorandum persefahaman dan satu surat niat.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini berkataJS-SEZ akan meliputi seluruh kawasan Iskandar Malaysia termasuk kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang dengan keseluruhannya, berkeluasan 3,505 kilometer persegi.
JS-SEZ merangkumi kawasan di bawah enam pihak berkuasa tempatan di Johor iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan sebahagian daripada Majlis Perbandaran Pontian.
MIDF Research berkata Pelabuhan Johor dihubungkan dengan baik melalui jalan raya serta kereta api ke seluruh Malaysia dan Singapura, memudahkan pergerakan barangan dan bahan.
“Peningkatan pengeluaran di kawasan-kawasan ini termasuk kekuatan perhubungan akan mengukuhkan lagi aktiviti eksport Malaysia,” katanya.