IPOH, 9 Feb (Iteenews) — Sebanyak 143 motosikal disita daripada 24,494 motosikal yang diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dalam Operasi Khas Motosikal bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2025 yang dilaksanakan sejak 20 Jan lepas.
Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata daripada jumlah motosikal yang diperiksa itu, sebanyak 6,039 saman di bawah notis JPJ(P)22 dikeluarkan terhadap 2,511 motosikalatas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata antara kesalahan terbanyak yang dilakukan melibatkan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan kesalahan teknikal, seperti tidak mematuhi spesifikasi plat atau melakukan pengubahsuaian nombor plat kenderaanselain tiada cermin sisi.
"Operasi Khas Motosikal bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2025 menampakkan kejayaan berikutan kadar kesalahan yang dikesan telah berkurang kira-kira 20 peratus berbanding 2024 (7,383 saman) dengan jumlah hari penguatkuasaan dijalankan ialah sama, iaitu 18 hari.
"Hal ini (statistik) menandakan bahawa tahap kesedaran dalam kalangan penunggang dan pemilik motosikal semakin baik," katanya kepada pemberita selepas operasi khas itu dilaksanakan di Jalan Sultan Iskandar di sini malam tadi.
Mohammad Yusoff berkata operasi khas itu yang akan berakhir hari ini memfokuskan kepada kesalahan lalu lintas, lumba haram dan pengubahsuaian ekstrem terhadap komponen motosikal.
Dalam operasi malam tadi juga, beliau berkata pihaknya mengesan sebuah kereta yang telah melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran.
"Kita sudah keluarkan saman, antaranya dia (pesalah) telah membuat pengubahsuaian terhadap kenderaan asal daripada Perodua Kelisa kepada Daihatsu, dan dia juga telah menukar enjin kenderaan yang sepatutnya 600cc kepada 1,300cc denganmembuat penukaran enjin tanpa kebenaran," katanya.
Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata sepanjang operasi Tahun Baharu Cina 2025 melibatkan bas pula, JPJ Perak telah melaksanakan aktiviti penyamarandi empat terminal bas utama dan mengeluarkan 12 notiskesalahan antaranya tidak mengikut lorong yang betul dan memotong di garisan berkembar.