IPR-INTAN NCER Berpotensi Melahirkan Pekerja Berkemahiran Dalam Jangka Masa Panjang

PADANG BESAR, 10 April(Iteenews) — Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan B40, malah berpotensi untuk melahirkan pekerja sektor pertanian yang berkemahiran dalam jangka masa panjang

Bercakap kepada Iteenews baru-baru ini, tiga peserta lelaki bagi Fasa 1 Projek IPR-INTAN NCER di Chuping dekat sini yang dikendalikan NCER berkata mereka juga berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Operasi Pengeluaran Tanaman.

Tiga peserta itu ialah Mohd Zulhilmi Azemi, 39, S.K Narendren, 21, serta S. Loganathan, 37. Mereka memulakan kerja sebagai operator ladang tanaman cili dan terung seluas 12.141 hektar bagi Fasa 1 itu pada November 2023 setelah berjaya melepasi sesi temu duga bersama IPR-INTAN NCER.

Ad Banner

Ketiga-tiga mereka yang kini menjawat jawatan sebagai penyelia di ladang tanaman tersebut mengakui tidak mempunyai pengalaman dalam operasi ladang sebelum menyertai bidang pertanian.

“Sebelum bekerja di ladang ini, saya pernah menjadi penghantar makanan dan barangan dengan pendapatan yang tidak menentu. Saya memang tidak mempunyai pengetahuan mengenai pertanian, tetapi saya mencuba untuk menyertai temu duga IPR-INTAN NCER dan akhirnya diterima bekerja di ladang tanaman ini,” kata Mohd Zulhilmi.

Narendren dan Loganathan, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang paip dengan gaji antara RM1,200 hingga RM1,600 sebulan, turut menyatakan kepuasan mereka bekerja di ladang kerana mendapat pendedahan langsung mengenai operasi ladang tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran, malah mereka mendapat gaji tetap.

“Saya juga mempunyai sasaran dan impian untuk membuka ladang tanaman sendiri, dengan niat untuk menanam tembikai,” kata Narendren.

“Saya pula merancang untuk memiliki ladang sendiri dan menanam bendi serta cili,” kata Loganathan.

Mereka memainkan peranan penting dalam operasi ladang Fasa 1 itu, dengan Mohd Zulhilmi dan Narendren lebih fokus pada pengurusan rumah pam untuk siraman air dan baja serta penggunaan teknologi sistem fertigasi dan Internet of Things (IoT), manakala Loganathan memberi tumpuan pada kawalan perosak tanaman.