KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Iteenews) — Steel Hawk Bhdtelah mencatatkan kadar terlebih langgansebanyak 276.83 kali bagi saham tawaran awam permulaan (IPO) yang ditawarkan kepada orang ramai Malaysia sempena pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE menjelang 5 Sept depan.
Pembekal perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (O&G) itu berkata 34,838 permohonan membabitkan 6.81 bilion saham bernilai RM1.02 bilion telah diterima bagi 24.5 juta saham baharu yang ditawarkan pada 15 sen sesaham.
“Kadar terlebih langganan sebanyak 276.83 kali kami berada pada kedudukan langganan tertinggi berbanding semua IPO dalam tempoh 10 tahun lepas berdasarkan maklumat yang dipetik daripada laman web Bursa Securities,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk bahagian bumiputera, 16,582 permohonan bagi 3.02 bilion saham telah dikemukakan, menyebabkan kadar terlebih langgan sebanyak 245.25 kali, manakala 18,256 permohonan bagi 3.79 bilion saham telah dimohon untuk bahagian awam, merekodkan kadar terlebih langgan 308.40 kali.
Sejumlah12.25 juta saham yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat turut dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, 53.25 juta saham baharu dan 44.70 juta saham sedia ada disediakan untuk permohonan dengan cara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan habis, katanya.
Steel Hawk menyediakan perkhidmatan sokongan dalam serta luar pesisir untuk industri O&G dengan keupayaan teras dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) termasuk penyelenggaraan fasiliti pelantar O&G, pemasangan selain penyelenggaraan peralatan dan pembekalan medan minyak.
Selepas pemindahan penyenaraian, Steel Hawk akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM73.50 juta berdasarkan harga terbitan 15 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Datuk Sharman K. Michael berkata hasil IPO tersebut akan memacu pelan pertumbuhan serta pengembangan kumpulan dalam industri O&G.